arena

De Rossi anggap VAR 'pembunuh'

Oleh Reuters

KEKALAHAN dramatik AS Roma di tangan FC Porto dalam Liga Juara-Juara menerusi sepakan penalti lewat dianugerahkan susulan reviu VAR, adalah satu “cara terburuk untuk tersingkir”, kata kapten mereka Daniele De Rossi, awal pagi tadi.

Pemain tengah veteran itu menegaskan dia tidak tahu apa yang berlaku kepada jurulatih Eusebio Di Francesco yang terus menuju ke bas pasukan tanpa melayan temu ramah selepas kalah perlawanan itu yang mana media Itali menyatakan menjadi kata pemutus mengenai masa depannya di kelab itu.

Roma, yang layak ke separuh akhir tahun lalu, tewas 3-4 secara agregat sesudah tewas aksi kedua awal pagi tadi 1-3 selepas masa tambahan, gol penentu hadir menerusi penalti selepas reviu VAR tiga minit sebelum tamat.

“Ia satu cara paling teruk untuk tersingkir tapi hakikatnya kami perlu menerima keputusan ini,” kata De Rossi. “Pasukan kami ada pasang dan surutnya. Ia bukannya persembahan sempurna tapi pasukan kami tetap bersatu.

“Perlawanan ini hampir berlanjutan ke penentuan sepakan penalti dan peluang untuk mara ke suku akhir buat tahun kedua berturut-turut.”

De Rossi berkata, dia tidak mahu terbabit dengan perbincangan mengenai masa depan Di Francesco dan menyatakan: “Saya harap beliau terus bersama kami.”

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku tapi tiada siapa boleh memperkecilkan apa yang sudah dilakukannya. Esok, kami akan berlatih bersamanya dan kemudian kelab akan membuat keputusan,” katanya.

Penyerang Diego Perotti bersetuju pasukan itu mahukan Di Francesco kekal.

“Kami sering memberikan segala-galanya kepadanya, ia satu saat teruk buat kami,” katanya. “Kami sentiasa bersamanya.”

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 11:34am
d