arena

Mueller tempelak tindakan Loew

Oleh AFP

THOMAS Mueller menyatakan dia “berang” mengenai keputusan “jelek” Joachim Loew menyingkirkannya serta rakan sepasukan Bayern Munich, Jerome Boateng dan Mats Hummels daripada skuad kebangsaan Jerman.

Jurulatih kebangsaan Jerman, Loew berkunjung ke Munich kelmarin untuk memberitahu Mueller, 29, Boateng dan Hummels, masing-masing 30, bahawa karier antarabangsa mereka sudah berakhir.

Trio yang memenangi Piala Dunia itu meraih sejumlah 246 penampilan sesama mereka.

“Lebih banyak saya memikirkan mengenainya, apatah lagi cara ia dilakukan, membuatkan saya marah,” kata Mueller dalam mesej video dua minit yang disiar di media sosialnya.

“Keputusan jurulatih secara tiba-tiba membuatkan saya bingung. Seorang jurulatih mesti membuat keputusan tepat, tiada masalah, saya tiada masalah dengannya.

“Tapi paling membuatkan saya tidak faham adalah karakter keputusan itu. Mats, Jerome dan saya masih boleh beraksi di peringkat tertinggi.

“Kenyataan media persekutuan bola sepak Jerman (DFB) dan presidennya (Reinhard Grindel), sudah disediakan lebih awal, jadi pada pandangan saya ia jelek dan membuktikan kurangnya pertimbangan.”

Terdahulu, pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge mengkritik tindakan dan masa yang diambil Loew untuk mendedahkan pelannya – seminggu sebelum aksi genting Liga Juara-Juara menentang Liverpool di laman sendiri selain di tengah kehangatan perebutan kejuaraan Bundesliga.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 1:19pm
d