arena

FAM bayar tunggakan gaji

Oleh Firdaus Hashim

SELEPAS menanggung derita terlalu lama, akhirnya lapan pasukan yang mengalami tunggakan gaji bersama pasukan masing-masing mampu menarik nafas lega apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membayar gaji pemain yang dikreditkan terus ke akaun mereka.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, keseluruhan jumlah pembayaran RM2,517,959.40 dibuat dengan menggunakan deposit setiap pasukan yang disimpan oleh badan induk itu serta wang lain yang dipegang sebelum ini.

"Tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi lima pasukan Liga Malaysia yang berjumlah RM1,178,600 telah diselesaikan menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh persatuan ini.

"Bagi pasukan PDRM ia sudah dikreditkan terus ke akaun individu berkenaan pada 19 Februari lalu, bagi pasukan Felcra FC, MOF FC dan DBKL FC pada Selasa lalu (5 Mac) dan Terengganu City FC pada hari ini.

"Sementara tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tiga lagi pasukan iaitu FELDA United, Hanelang FC dan Marcerra United yang berjumlah RM1,339,359.40 sedang dalam proses pembayaran dan dijangka dapat dikreditkan terus ke akaun mereka dalam beberapa minggu lagi.

"Ini menjadikan keseluruhan jumlah tunggakan gaji pemain dan pegawai yang berjaya diselesaikan FAM dengan menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang adalah berjumlah RM2,517,959.40," kata Stuart menerusi satu kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan ia bukan bermakna bahawa keseluruhan tunggakan gaji pemain dan pegawai berkenaan sudah pun diselesaikan kerana jumlah tunggakan yang dinyatakan ini adalah berdasarkan jumlah wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh FAM ke atas setiap pasukan terbabit.

"Baki tunggakan gaji pemain dan pegawai yang masih ada tetap perlu diselesaikan oleh pasukan-pasukan berkenaan.

"Inisiatif diambil FAM untuk menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh persatuan ini adalah sebahagian usaha bagi meringankan beban individu-individu yang berkenaan dengan masalah tunggakan gaji ini.

"FAM berharap pasukan berkenaan menghargai usaha yang dilakukan ini kerana ia berjaya mengurangkan sebahagian tunggakan yang perlu dijelaskan, seterusnya mereka juga perlu memiliki rasa tanggungjawab untuk menyelesaikan baki tunggakan kepada pemain dan pegawai mereka," katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 6:01pm
d