arena

MSN beri peluang kepada Syazwan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

KONTRAK atlet berbasikal para, Mohamad Syazwan Roshdi ditamatkan berikutan prestasi semasanya didapati tidak menunjukkan peningkatan selepas Sukan Para Asean 2017.

Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan berkata, ia sekali gus tidak akan memberi kelebihan kepada atlet terbabit khususnya bagi menghadapi acara trek.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, status dan potensi Mohamad Syazwan dalam program MSN dibincangkan ketua jurulatih, Johari Nayan bersama tiga pembantu jurulatih, Salehuddin Mohd Noh, Mohd Fitri Marzuki dan Iqbal Sokri.

"Semua jurulatih sebulat suara tidak mengekalkan dia dalam program atas sebab prestasi yang pada pandangan mereka pada ketika itu tidak menunjukkan peningkatan walaupun sudah diberi peluang.

"Jawatankuasa Pemilihan Atlet Para bagi Program Latihan 2019 terdiri daripada MSN, MPM (Majlis Paralimpik Malaysia, PKBM (Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) dan ISN (Institut Sukan Negara) turut membincangkan pandangan jurulatih terbabit dan menerimanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shapawi berkata, pihaknya sentiasa membantu atlet berada di bawah programnya untuk berada di tahap terbaik bagi menghadapi sebarang pertandingan berdasarkan perancangan latihan bersama-sama jurulatih, persatuan sukan kebangsaan dan ISN.

Menurutnya, Mohamad Syazwan adalah atlet berbasikal para kategori (C3) kecacatan fizikal dan berada di dalam program Paralimpik MSN bermula 2015 melalui program pencarian bakat yang jalankan pihaknya.

"Dia diperkenalkan dengan sukan berbasikal oleh jurulatih MSN dan dilatih sehingga menjadi pelumba berbasikal negara.

"Peluang untuk mempertingkatkan lagi daya kayuhan turut diberikan bagi dia menyaingi atlet yang lebih rendah kategori daripadanya memandangkan jika pertandingan membabitkan 'factored event' (kombinasi C1, C2 dan C3) bagi acara trek, ia akan memberi kekurangan kepadanya untuk memberi saingan berbanding acara lebuhraya yang tidak memerlukan kombinasi itu diaplikasikan," katanya.

Beliau berkata, Mohamad Syazwan juga diberi peluang bertanding di Kejohanan Dunia Trek UCI Los Angelas pada Mac 2017 bertujuan untuk klasifikasi kategori selain menyertai Temasya Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 dan Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2018 di Nilai.

Katanya, Jawatankuasa Pengelola Sukan Para Asean 2017 turut menganjurkan acara lebuhraya yang membabitkan kategori Syazwan hingga dia memenangi pingat emas.

"Syazwan juga maklum limitasi peningkatan prestasinya dan semasa perbincangan mengenai kariernya selepas ditamatkan kontrak atlet, kami dimaklumkan dia mempunyai pekerjaan sebagai jurujual dan langsung tidak diberitahu masalah terkandas dalam usaha mencari pekerjaan di Singapura," katanya.

Mengenai dakwaan Mohamad Syazwan bahawa dia tidak diberi kelengkapan secukupnya untuk bertanding, Ahmad Shapawi menegaskan, sememangnya atlet para tidak disediakan basikal secara persendirian untuk acara trek.

"Dia ada dibekalkan dengan basikal untuk acara lebuhraya memandangkan asalnya ia pelumba acara itu serta menggunakan basikal trek disediakan MSN pada kejohanan acara trek termasuk atlet lain.

"Begitu juga dakwaan beliau dilayan seperti penjenayah apabila terpaksa diiringi pengawal keselamatan ketika ingin memasuki premis MSN untuk mengambil barang di asrama.

"Ia adalah prosedur biasa kerana ketika itu atlet lain tiada selain difahamkan dia ingin mengambil barang yang ditinggalkan bukan di bilik asalnya sebelum ini," katanya sambil memohon maaf jika tersinggung oleh prosedur itu.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 6:35pm
d