arena

Roma pecat Di Francesco, Ranieri menanti

Oleh AFP

EUSEBIO Di Francesco dipecat sebagai jurulatih AS Roma selepas pasukan itu tersingkir daripada Liga Juara-Juara, umum kelab Itali itu awal pagi tadi dengan bekas bos Claudio Ranieri dijangka menggantikannya.

Roma membawa kelebihan 2-1 ke Porto bagi aksi kedua, pusingan 16 terakhir awal pagi semalam namun tewas 3-4 secara agregat selepas penalti kontroversi diberikan susulan reviu penolong pengadil video (VAR) pada hujung masa tambahan.

“AS Roma mengesahkan ketua jurulatih Eusebio Di Francesco meninggalkan kelab ini berkuat kuasa serta-merta,” menurut kenyataan kelab itu.

Satu mesyuarat tergempar pegawai atasan kelab itu diadakan awal pagi tadi di Rome untuk membincangkan mengenai masa depan Di Francesco.

Presiden kelab Jim Pallotta kemudian berkata: “Bagi pihak diri saya dan setiap orang di AS Roma, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Eusebio kerana kerja keras dan komitmennya.

“Sejak kembali ke kelab ini, Eusebio sering bertindak secara profesional dan meletakkan kepentingan kelab melebihi peribadi. Kami mendoakan beliau berjaya selepas ini.”

Bekas bos Sassuolo, Di Francesco mengambil alih pada Jun 2017.

Bekas pemain tengah Roma itu membantu kelab meraih kejuaraan terakhir Serie A sebagai pemain pada 2001.

Pengendali berusia 49 tahun itu mengemudi Roma ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu, kali pertama sejak 1984, susulan kebangkitan epik 3-0 menentang Barcelona pada suku akhir.

Di Francesco melatih Roma sebanyak 87 perlawanan dengan 46 menang, 18 seri dan 23 kalah.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 8:59am
d