arena

Gerrard takkan lupa insiden 'terjatuh'

Oleh Reuters

STEVEN Gerrard menyatakan insiden malang beliau terjatuh yang secara efektif meranapkan impian Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris pada musim 2013-14 masih menghantuinya dan keperitan itu tidak mungkin terpadam sekalipun jika pasukan kendalian Juergen Klopp merangkul trofi itu tahun ini.

Bekas kapten Liverpool itu diingati kerana terjatuh dan hilang penguasaan bola lima tahun lalu sekali gus membolehkan Demba Ba menjaringkan gol ketika Chelsea menamatkan usaha Liverpool dengan kemenangan 2-0 pada musim yang dimenangi Manchester City.

Liverpool mengutip 70 mata dan ketinggalan satu mata di belakang City dengan berbaki sembilan perlawanan musim ini dan Gerrard berharap kelab masa kecilnya itu mampu menamatkan penantian kemarau 29 tahun demi peminat setia.

“Luka ini masih berdarah sejak pengalaman saya itu. Saya tidak pasti ia boleh sembuh kerana saya tidak boleh mengubah pengalaman,” kata Gerrard, yang meninggalkan Liverpool pada 2015 selepas 17 tahun di kelab Merseyside itu.

“Ia tidak memberi kesan bagaimana saya rasa (mengenai Liverpool) hari ini. Saya lihat kepada pemain dalam skuad, sesetengahnya masih kawan saya. Saya lihat sokongan dari bangku penonton dan seluruh dunia.

“Saya hanya berharap demi mereka dan saya sendiri sebagai penyokong, pada hujung pertandingan ini mereka muncul pemenang. Tapi ia tidak akan menyembuhkan luka saya.”

Gerrard memuji langkah Klopp menjadikan Liverpool sebagai pencabar kejuaraan dan berkata, pasukan itu patut berbangga sekalipun jika mereka tewas di tangan juara bertahan City.

“Sesetengah orang akan melihatnya sebagai kegagalan tapi itulah bola sepak dan pendapat. Juergen sudah meningkatkan tahap pasukan ini. Beliau melakukan sedaya mungkin,” kata Gerrard, yang kini mengurus kelab Scotland, Rangers.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 3:05pm
d