arena

Selangor mahu rangkul Piala Sultan Selangor

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

PELUANG Selangor mengekalkan tiga Piala Sultan Selangor tampak cerah apabila penganjuran edisi ke-18 kejohanan itu, tahun ini menyaksikan Stadium Shah Alam sekali lagi menjadi tuan rumah pada 24 Ogos ini.

Tahun lalu, skuad Pilihan Selangor menjulang trofi berprestij itu selepas kali terakhir memenanginya pada 2014 daripada Pilihan Singapura yang menjuarainya tujuh kali berturut-turut.

Pengerusi Penganjur Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar, berkata, tarikh 24 Ogos dipilih atas perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selain mahu kejohanan berprestij itu diadakan di Stadium Shah Alam, tahun ini.

Katanya, tahun ini Selangor bersemangat memastikan untuk mengekalkan tiga Piala Sultan Selangor iaitu piala utama, Piala Veteran dan Piala Cabaran Sekolah Singapura-Selangor Bawah 16 Tahun.

"Tuanku Sultan Selangor berkenan memilih 24 Ogos dan mahu mengadakan kejohanan itu sekali lagi di Shah Alam, tahun hadapan (2020) Singapura akan menjadi tuan rumah.

"Tahun ini Piala Sultan Selangor akan membawa format sama, cuma bezanya Piala Cabaran Sekolah Singapura-Selangor Bawah 16 Tahun akan membabitkan pemain bawah 15 tahun kerana pemain bawah 16 tahun Singapura terbabit dengan peperiksaan pada hari kejohanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pertama bersama Delegasi Singapura di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Delegasi Singapura, Teo Hock Seng.

Abd Karim berkata, bagi edisi ke-18 tahun ini, perlawanan akan bermula dengan aksi Veteran Selangor menentang Veteran Singapura pada jam 8 malam, diikuti perlawanan utama sejam selepas itu manakala perlawanan membabitkan aksi Piala Cabaran Sekolah-Sekolah diadakan jam 5 petang.

"Kita sekali lagi akan mewujudkan suasana perlawanan ini seperti karnival dengan pelbagai acara dianjurkan istimewa untuk peminat Piala Sultan Selangor termasuk cabutan bertuah dengan hadiah menarik," katanya.   

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 6:41pm
d