arena

Misi tiga mata TBG

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

SELEPAS gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam empat perlawanan sebelum ini, pasukan Perak berhasrat menjadikan pertembungan dengan PJ City FC di Stadium Perak, Ipoh, malam esok, sebagai pencetus perolehan tiga mata pertama musim ini.

Misi itu bukan mustahil apatah lagi kedua-dua pasukan dibezakan hanya satu mata ketika ini apabila PJ City berada di kedudukan kelapan Liga Super dengan empat mata berbanding penyandang juara Piala Malaysia itu yang setakuk di bawahnya dengan tiga mata.

Tambahan pula, rekod pasukan The Bos Gaurus (TBG) juga kelihatan lebih baik apabila mencatat tiga seri dan sekali kekalahan berbanding PJ City FC yang mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.

Begitupun, Kapten TBG, Shahrul Saad, tidak memandang mudah pertembungan esok kerana pendatang baharu Liga Super itu bukan pasukan yang mudah dijinakkan.

"Kita memang mengharapkan kemenangan dapat dicatatkan dalam perlawanan di Stadium Perak malam esok. Harapan kami esok menjadi permulaan untuk Perak mengutip tiga mata penuh.

"Bagaimanapun, kami tidak boleh mengambil mudah pasukan PJ City FC ini, perlu fokus terhadap perlawanan terutama berwaspada terhadap barisan pemain import pasukan itu khusus barisan hadapannya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Malah, kedatangan pasukan kendalian K Devan itu yang diperkuatkan dengan bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali, boleh mengundang duka kepada pasukan TBG itu jika tidak berhati-hati.

Shahrul berkata, Safee sebagai pemain yang begitu berpengalaman dalam liga tempatan dan luar negara serta perlawanan di peringkat antarabangsa, mampu menjaringkan gol dalam situasi yang tidak dijangka.

"Justeru, dia adalah antara pemain yang kami jangka perlu diawasi sepanjang perlawanan malam esok," kata pertahanan kental negara itu.

Apapun, Perak tidak harus melepaskan peluang untuk memulakan langkah kanan di hadapan penyokong sendiri malam esok sekali gus memintas kedudukan PJ FC yang berada di atasnya, tambahan pula TBG masih ada satu perlawanan dalam tangan.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 7:28pm
d