arena

Tok Gajah tewaskan Lang Merah

Oleh Asrol Awang

PAHANG mengutip tiga mata selepas menewaskan Kedah 1-0 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.

Jaringan tunggal pada minit ke-85 oleh pemain gantian, Zuhair Aizat Mohd Nazri sudah cukup untuk mengecewakan skuad Lang Merah.

Kedua-dua pasukan saling melakukan asakan terutama pada aksi separuh masa pertama.

Peluang terbaik Pahang bermula daripada tandukan Dickson Nwakaeme yang sedikit tersasar selepas menerima hantaran daripada Nor Azam Azih menerusi sepakan sudut pada minit ke-23.

Tiga minit kemudian, pengadil perlawanan, Mohammad Zamzaidi Katimin memberikan sepakan penalti selepas kapten Lang Merah, Baddrol Bakhtiar menjatuhkan Nwakaeme di dalam kotak penalti.

Namun, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo gagal menyempurnakan penalti itu apabila penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim berjaya menepis keluar.

Minit ke-34, Zaquan Adha Abd Razak hampir menjaringkan gol buat skuad Kedah apabila bola rembatan penyerang itu dari luar kotak penalti sedikit tersasar di sebelah kanan tiang gol tuan rumah walaupun penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias sudah tertewas.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Dollah Salleh berusaha menggandakan asakan ke kubu lawan tetapi dinafikan jentera pertahanan yang dilihat lebih bersedia menggagalkan percubaan diketuai Nwakaeme.

Lima minit sebelum tamat perlawanan, pemain gantian, Zuhair Aizat memastikan jaringannya membolehkan Pahang meraih tiga mata di laman sendiri.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 11:04pm
d