arena

'ATM kosong'

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Selepas mengetahui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah mengkreditkan tunggakan gaji dan wang kemenangan menjuarai Piala FAM musim lalu terus ke akaun mereka kelmarin, pemain dan pegawai pasukan Terengganu City FC (TCFC) ‘menyerbu’ mesin pengeluaran wang automatik (ATM) selain ada menyemak melalui laman web untuk mengeluarkan wang berkenaan.

Namun, kegembiraan mereka bertukar kehampaan apabila tunggakan gaji yang dinantikan sejak lapan bulan lalu mulai Julai dan wang menjuarai liga divisyen tiga September lalu itu tidak ‘muncul’ dalam akaun mereka.

Bekas ketua jurulatih TCFC, Mohd Noor Md Derus berkata, wang yang dikatakan FAM sudah dibayar itu belum diterima selepas dua kali menyemak dalam akaun iaitu pada kelmarin dan semalam.

“Semalam (kelmarin) saya semak akaun begitu juga pada hari ini (semalam) tapi hampa kerana wang berkenaan belum dibayar lagi, saya pelik jika FAM maklum dah bayar mesti wang itu dah ada dalam akaun, tapi setakat ini belum lagi.

“Berapa lama lagi harus kami tunggu... sudah lama kami menanti tapi bila semak akaun wang tak ada, saya harap FAM selesaikan dengan seberapa segera dan bahagi dengan betul dan seadilnya bagi mengelak timbul ketidakpuasan hati pegawai dan pemain,” katanya.

Pemain terbaik final Piala FAM musim lalu, Khairul Ramadhan Zauwawi juga berasa pelik selepas hasratnya untuk mengeluarkan wang itu menemui kehampaan kerana belum lagi dikreditkan ke dalam akaunnya.

“Saya hairan FAM maklum dah masuk ke dalam akaun pemain dan pegawai semalam (kelmarin), tapi bila saya semak di mesin ATM masih belum dibayar, jadi berapa hari lagi harus kami tunggu.

“Kami juga nak tahu kaedah pembayaran itu sama ada melalui akaun pemain sebagaimana yang dimaklumkan FAM atau melalui bekas majikan atau kepada badan induk bolasepak negeri.

“Selepas kecewa kerana wang itu belum dimasukkan, saya ada bertanya dengan exco PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia) berhubung perkara itu, beliau maklum minggu depan wang itu selesai dimasukkan di dalam akaun,” katanya.

Menurutnya, mereka benar-benar berharap ia menjadi kenyataan kerana sudah lama menanti tunggakan gaji dan hadiah kemenangan menjuarai Piala FAM itu.

“Saya juga harap wang kemenangan menjuarai Piala FAM itu tidak dicampur aduk dengan wang lain selain wajib diberi kepada mereka yang layak sahaja dan perlu disenaraikan nama pemain dan pegawai yang menerimanya,” kata Ramadhan.

Kekecewaan sama diluahkan bekas penjaga gol utama skuad The Sharks itu, Muslim Yusof dan pemain tengah, Mohd Dzaiddin Zainuddin yang sehingga semalam belum menerima pembayaran wang berkenaan.

“Kami harap FAM menyenaraikan nama yang layak menerima wang kemenangan dan tunggakan gaji bagi mengelak berlaku kekeliruan,” kata Muslim.

Kelmarin Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memaklumkan tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi lima pasukan Liga Malaysia yang berjumlah RM1,178,600 telah diselesaikan menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh persatuan itu.

Beliau berkata, pasukan PDRM sudah dikreditkan terus ke akaun individu berkenaan pada 19 Februari lalu, bagi pasukan Felcra FC, MOF FC dan DBKL FC pada Selasa lalu (5 Mac) dan TCFC (7 Mac).

Sementara tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tiga lagi pasukan iaitu FELDA United, Hanelang FC dan Marcerra United yang berjumlah RM1,339,359.40 sedang dalam proses pembayaran dan dijangka dapat dikreditkan terus ke akaun mereka dalam beberapa minggu lagi.

Disiarkan pada: March 9, 2019 @ 8:03am
d