arena

'Jadilah macam Ronaldo'

Oleh Agensi

PENGENDALI sementara Manchester United Ole Gunnar Solskjaer berpesan kepada penyerangnya Marcus Rashford supaya menjadi penyerang yang lebih kejam seperti Cristiano Ronaldo.

Rashford, 21, menyempurnakan kebangkitan sensasi United pada saingan Liga Juara-Juara apabila menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan untuk menyingkirkan Paris Saint-Germain di Parc des Princes.

Ia adalah gol ketujuh antarabangsa pemain England itu daripada 16 perlawanan di bawah kendalian Solskjaer tetapi beliau yakin Rashford boleh mengikuti jejak langkah Ronaldo jika dia mahu menjadi penyerang berbisa di dalam kotak penalti.

“Jaringan Rashford kadang kala menakjubkan dan dia memiliki rembatan yang tepat,” kata Solskjaer di Manchester.

“Tetapi anda lihat peningkatan dan kematangan serta perubahan jaringan Cristiano ketika dia masih muda hingga kini dan dia lebih banyak menyumbat gol dalam kotak penalti.

“Rashford perlu memperbaiki sepakan dari jarak dekat, pergerakan dalam kotak penalti dan cara untuk melepasi daripada kawalan pertahanan tengah. Anda akan dapat lebih lima hingga 10 gol jika berada dalam kotak penalti dan dia sudah diberitahu mengenainya.”

Solskjaer yang menjaringkan majoriti daripada 91 gol buat kelab itu daripada jarak dekat, berusaha untuk memperbaiki kelemahan Rashford dan yakin penyerang muda itu juga boleh mempelajari daripada Romelu Lukaku.

“Saya sering bercakap dengan Rashford selepas sesi latihan tamat yang dia perlu menjaringkan gol sebanyak mungkin seperti Rom (Lukaku),” kata Solskjaer.

“Dia perlu selalu melakukan sepakan jarak dekat dan menyudahkannya, seperti mana Rom sering lakukan dalam beberapa perlawanan.”

Disiarkan pada: March 9, 2019 @ 11:25am
d