arena

Mat Yo tak salah

Oleh Asrol Awang

KUANTAN: Kegagalan penyerang Pahang Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa kedua ketika menentang Kedah malam tadi, tidak membuat Dollah Salleh ‘melenting’.

Sebaliknya, pengendali Tok Gajah itu menyedari pemain itu turut kecewa terlepas peluang kerana jika jaringan itu disempurnakan, ia mampu memberi lebih tekanan kepada lawan.

Dalam perlawanan itu, mereka berjaya menundukkan Lang Merah 1-0 menerusi pemain gantian Zuhair Aizat Mohd Nazri, lima minit sebelum tamat perlawanan.

"Namun, saya puji dengan komitmen Norshahrul kerana dapat mengekalkan corak permainannya sepanjang perlawanan untuk bersama mendapatkan gol buat pasukan," katanya. 

Pada minit ke-26, pengadil perlawanan Mohammad Zamzaidi Katimin memberikan sepakan penalti selepas kapten Lang Merah, Baddrol Bakhtiar menjatuhkan Dickson Nwakaeme di dalam kotak penalti. 

Namun, sepakan Norshahrul ditepis keluar penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Pada masa sama Dollah turut memuji komitmen anak buahnya yang melakukan segala-galanya untuk mencatat kemenangan demi mengukuhkan kedudukan dalam Liga Super.

"Bagi saya, semua pemain beraksi dengan baik dan mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol tetapi dinafikan pertahanan lawan. 

"Kita juga menguasai permainan hampir 65 peratus dan kemenangan ini memberi lebih keyakinan kepada pemain untuk mengekalkan prestasi terbaik ini pada perlawanan akan datang," katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2019 @ 12:04pm
d