arena

Bukan rezeki Lang Merah

Oleh Asrol Awang

KUANTAN: Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak tidak menyembunyikan perasaan kecewa selepas skuadnya tewas 0-1 kepada Pahang, malam tadi. 

Beliau berkata, anak buahnya mempamerkan persembahan yang terbaik untuk menafikan skuad Tok Gajah daripada mengutip tiga mata. 

"Kami tidak bernasib baik apabila Pahang berjaya menjaringkan gol di penghujung perlawanan yang menyebabkan Kedah pulang tanpa sebarang mata.

  "Namun, saya tetap memuji komitmen yang dipersembahkan semua pemain yang berjaya mengekang asakan tuan rumah terutama penyerang import, Dickson Nwakaeme. 

"Kami juga mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol dan pemain juga memberikan komitmen 100 peratus," kata jurulatih berasal dari Singapura itu. 

Justeru, Aidil mahu skuad kendaliannya itu melupakan kekalahan itu untuk kembali bangkit pada perlawanan akan datang. 

Katanya, persediaan lebih rapi akan dilakukan untuk memastikan skuad itu kembali mencatat kemenangan, sekali gus memberi saingan di kelompok teratas Liga Super. 

Kekalahan kepada Pahang adalah yang pertama musim ini buat Kedah selepas cemerlang merekodkan tiga kemenangan dan dua seri dalam lima perlawanan sebelumnya.

Disiarkan pada: March 9, 2019 @ 12:24pm
d