arena

Wander pastikan tiga mata The Bos Gaurus!

Oleh Mohd Hafizee Mohd

Ipoh: Perak mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini dengan menundukkan PJ City FC 1-0 dalam perlawanan di Stadium Perak, malam tadi.

Beraksi dihadapan penyokong sendiri, anak buah Mehmet Durakovic mula mengasak ke kubu lawan namun jentera serangan diketuai Shahrel Fikri Md Fauzi gagal menghasilkan gol menerusi beberapa serangan dilancarkan.

Skuad The Bos Gaurus terpaksa menunggu sehingga minit ke-37 untuk mendapatkan gol pertama menerusi sepakan penalti selepas Mohd Nor Hakim Hassan dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh pertahanan lawan.

Wander Luiz yang diamanahkan untuk mengambil sepakan itu mudah merembat kencang menewaskan penjaga gol PJ City FC, Mohd Muhaimin Mohamad membolehkan Perak mendahului lawan dengan 1-0.

Tersentak dengan gol itu, PJ City FC cuba melakukan beberapa serangan balas namun barisan serangan diketai pemain senior, Safee Sali gagal memecah benteng pertahanan sekaligus menyaksikan perlawanan babak pertama berkesudahan 1-0.

Bermula babak kedua PJ City FC bagaikan mendapat tonik baru daripada jurulatihnya K Devan dengan mempamerkan corak permainan pantas sekaligus mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Perak diketuai Ketua Pasukan, Shahrul Saad namun gagal menemui sentuhan jaringan.

PJ City FC hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-70 apabila Safee Sali berjaya melepaskan diri dari kawalan pertahanan dan berhadapan dengan penjaga gol Perak, Mohd Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy namun sepakannya tersasar.

Perak sesekali cuba melancarkan serangan ke kubu PJ City FC namun gagal menambah jaringan sebelum perlawanan berkesudahan 1-0.

Dengan kemenangan itu menyaksikan juara Piala Malaysia itu mencatatkan satu kemenangan, tiga seri dan satu kekalahan dengan mengumpul enam mata.

Disiarkan pada: March 9, 2019 @ 11:40pm
d