arena

Terima kasih FAM, PFAM

Oleh Malik Muhamad

BIARPUN hanya dua bulan mendapat tunggakan gaji, bekas jurulatih dan sebahagian pemain Terengganu City FC (TCFC) tetap bersyukur selain menarik nafas lega kerana penantian berakhir.

Mereka mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) kerana sudi mendengar rintihan mereka dan membantu selepas dianiaya bekas majikan susulan tidak dibayar gaji sejak Julai tahun lalu.

Mereka juga turut berterima kasih kepada pihak media yang juga sering membantu dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji itu sehingga berjaya mendapat hak masing-masing.

“Tiada lafaz melainkan ucapan syukur dan terima kasih kepada semua termasuk FAM selepas penantian hampir sepuluh bulan mendapatkan tunggakan gaji berhasil walaupun baharu mendapat dua bulan gaji daripada enam bulan.

“Pada Khamis dan Jumaat lalu saya semak dalam akaun selepas mengetahui FAM sudah mengkreditkan tunggakan gaji ke dalam akaun jurulatih dan pemain, namun hampa kerana tiada transaksi wang dimasukkan ke dalam akaun saya.

“Tengah hari tadi (semalam) saya cuba semak sekali lagi tunggakan gaji itu, akhirnya lega kerana wang itu sudah masuk,” kata bekas jurulatih TCFC, Mohd Noor Md Derus yang juga berterima kasih kepada pihak media kerana membantunya serta pegawai dan pemain lain dalam isu itu, namun berharap mendapat empat bulan lagi baki gaji.

Bagi bekas pemain tengah TCFC, Mohd Dzaiddin Zainuddin, dia juga lega dan berterima kasih selepas menerima tunggakan gaji selama dua bulan daripada empat bulan tertunggak musim lalu.

Bagaimanapun, rakannya yang juga bekas penjaga gol utama skuad itu musim lalu, Muslim Yusof dan pemain terbaik final Piala FAM musim lalu, Khairul Ramadhan Zauwawi terpaksa ‘gigit jari’ kerana masih belum dapat tunggakan gaji atau wang menjuarai Piala FAM musim lalu.

Bagi Ramadhan, dia juga rasa terkilan kerana masih belum dapat lagi tunggakan gaji itu atau wang kemenangan menjulang Piala FAM ketika beberapa rakan sepasukannya sudah menarik nafas lega kerana sudah mendapat tunggakan gaji selama dua bulan.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 5:30am
d