arena

Aaron-Wooi Yik melangkah ke final

Oleh Saiful Affendy Sapran

BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik nyata berada pada prestasi terbaik apabila melakar sejarah mara ke final Seluruh England hari ini.

Pada aksi separuh akhir awal pagi ini di Arena Birmingham, pasangan negara itu sekali lagi melakukan kejutan dengan menewaskan pilihan kelapan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 12-21, 22-20, 21-19.

Meskipun tewas di set pertama, Aaron-Wooi Yik dilihat tidak berputus asa, sebaliknya bangkit pada set kedua dan penentuan untuk melakar kemenangan pada perlawanan yang berlangsung selama 59 minit itu.

"Lawan bermula dengan baik dan sering memberikan tekanan kepada kami. Tetapi kemudian strategi kami menjadi.

"Ini adalah penampilan pertama kami di Seluruh England dan final pertama di kejohanan utama.

"Sudah lama Malaysia tidak memenanginya. Saya harap kami dapat memenanginya untuk Malaysia," kata Wooi Yik.

Pada aksi final hari ini, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan satu lagi halangan berliku apabila bertemu gandingan juara dunia dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan yang juga pemenang Seluruh England 2014.

Aaron-Wooi Yik juga muncul satu-satunya wakil negara yang akan beraksi pada pentas final hari ini selepas kesemua wakil negara terkandas lebih awal.

Kali terakhir Malaysia muncul juara dalam acara beregu lelaki adalah pada 2007 menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 8:51am
d