arena

Gol Piatek selamatkan Milan

Oleh AFP

KRZYSZTOF Piatek menjadi penyelamat kemenangan 2-1 AC Milan kepada kelab tercorot Chievo dalam aksi Serie A, sekali gus memastikan peluang pasukannya beraksi di Liga Juara-Juara musim depan semakin cerah.

Piatek menyertai Milan dari Genoa pada Januari dan kini sudah menjaringkan lapan gol dari sembilan perlawanan, selain membantu Milan mencatat lima kemenangan berturut-turut sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah sejak sebelum Krismas.

Kembali beraksi selepas kecederaan, Lucas Biglia menjaringkan gol pembukaan menerusi sepakan percuma menarik selepas aksi 31 minit di Verona. Ia adalah gol kedua bersama Milan dan yang pertama sejak Februari tahun lalu.

Pemain tengah Finland, Perparim Hetemaj menanduk masuk hantaran lintang Leris untuk mengikat kedudukan jaringan empat minit sebelum separuh masa pertama tamat.

Begitupun, Piatek sekali lagi membuktikan sentuhan penyudah menerusi jaringan kemenangan minit ke-57 permainan susulan kekalutan di depan pintu gol lawan.

Tayangan VAR turun mengesahkan gol itu menyebabkan jurulatih Chievo, Domenico Di Carlo tampak berang.

“Saya tidak mahu sebarang alasan tetapi dalam enam perlawanan terakhir kami keputusan VAR adalah tidak berpihak kepada kami,” kata Di Carlo selepas pasukannya itu hanya menang sekali dalam 27 perlawanan.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 10:29am
d