arena

'Bedah siasat' pasukan : Zainal

Oleh Malik Muhamad

KECEWA dengan prestasi anak buahnya, ketua jurulatih Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan akan melakukan 'bedah siasat' ke atas pasukan itu bagi merungkai punca sebenar aksi terburuk dipamerkan pemainnya ketika tewas kepada Terengganu FC (TFC) malam tadi.

Malah, bekas pemain kebangsaan itu tidak teragak-agak untuk 'menghukum' pemainnya yang gagal memperagakan aksi terbaik walaupun sudah diberi peluang beraksi.

"Kelemahan pasukan saya pada malam ini (malam tadi) begitu ketara sangat, jadi selepas ini saya akan soal siasat pemain lebih-lebih lagi perlawanan ini adalah perlawanan yang paling buruk pernah saya lihat sepanjang berada dalam pasukan.

"Bagi saya mesti ada sebab kenapa mereka gagal beraksi dengan baik dan kita akan lihat apa punca-puncanya sehingga gagal meraih sebarang mata pada malam ini (malam tadi).

"Jika dilihat terlampau ramai sangat pemain yang tidak menunjukkan prestasi sebenarnya, selepas ketinggalan 0-1 pun tak nampak kebangkitan seperti yang diharapkan sehingga mendera kita ke saat akhir," ujar Zainal sebaik perlawanan tamat yang menyaksikan skuadnya tewas 0-3 kepada TFC.

Pada perlawanan itu, pelawat sukar menembusi kubu tuan rumah yang diketuai Igor Zonjic, sebaliknya tuan rumah berjaya merakam kemenangan pertama menerusi jaringan Nasrullah Hanif Johan, Sanjar Shaakmedov dan Ahmad Syamim Yahya.

Ditanya sama ada ketiadaan tonggak tengah importnya, Liridon Krasniqi menyebabkan MU layu sehingga gagal menyaingi lawan, bekas pemain kebangsaan itu menafikannya.

"Bagi saya setiap pemain mempunyai tugas masing-masing tidak kiralah siapa yang bermain, tetapi malam ini (malam tadi) tidak nampak aksi berpasukan, bukannya disebabkan ketiadaan Liridon menjadi puncanya.

"Selain itu mereka (pemain MU) tidak nampak sifat berlawan, malah bila kita dapat peluang pemain tidak mengambil dengan sepenuh hati, jadi banyak yang perlu diperbaiki atau disiasat untuk mereka kembali beraksi dengan baik," katanya.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 11:19am
d