arena

Rekod Solskjaer sudah lebur

Oleh AFP

OLE Gunnar Solskjaer menyalahkan Manchester United kerana kurang kesungguhan ketika pengendali dari Norway itu mengalami kekalahan domestik pertama sebagai pemangku pengurus apabila tewas 2-0 kepada Arsenal awal pagi ini.

Jaringan awal Granit Xhaka dan penalti Pierre Emerick-Aubameyang 21 minit sebelum tamat menyaksikan Gunners mengatasi United untuk berada dalam kelompok empat teratas Liga Perdana.

Pasukan bimbingan Unai Emery juga hanya satu mata di belakang pasukan di kedudukan ketiga liga, Tottenham dan kini memiliki kelebihan bagi pemburuan ke Liga Juara-Juara.

Arsenal tidak akan berdepan mana-mana pasukan dalam kelompok enam teratas dalam baki lapan perlawanan liga manakala United menanti kehadiran Manchester City dan Chelsea dalam minggu-minggu selepas ini selain berdepan saingan Liga Juara-Juara dan Piala FA.

“Anda perlu kecewa dengan keputusan ini, namun persembahan adalah bagus,” kata Solskjaer.

“Gol pertama selalu menunjukkan bagaimana perlawanan akan berlangsung. Kami mencipta peluang, peluang besar, terkena palang dua kali, (Bernd) Leno bermain baik.

“Dalam aspek apa yang boleh kita kawal, kami tidak seharusnya rasa terlalu kecewa.”

Kunjungan ke Perancis untuk kedua-dua pasukan pada pertengahan minggu menghasilkan keputusan berbeza ketika United mengejutkan pasukan mewah Paris Saint-Germain 3-1 untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Gunners sebaliknya tewas 3-1 kepada Rennes menyebabkan mereka perlu berdepan cabaran besar pada saingan pusingan kedua awal pagi Jumaat ini untuk mara ke kelompok lapan terakhir Liga Europa.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 8:40am
d