arena

Pahang tuan rumah pusingan kedua Piala FA

Oleh Asrol Awang

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengesahkan menjadi tuan rumah pada pusingan kedua Piala FA antara Pahang dengan Persada Integriti Bersatu (PIB) FC, pada 3 April depan.

Pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, keputusan itu dipersetujui bersama pengurusan kelab bola sepak amatur dari Selangor itu.

"Kami menerima tawaran daripada PIB yang memberi persetujuan bahawa Pahang menjadi tuan rumah pada perlawanan pusingan kedua itu.

"Oleh itu, kami mengharapkan sokongan daripada penyokong skuad Tok Gajah untuk memastikan Pahang mempertahankan piala itu musim ini," katanya. 

Berdasarkan undian pada 4 Mac lalu, PIB turun selaku tuan rumah apabila menanti kunjungan Pahang yang juga juara bertahan.

Namun, keputusan membenarkan Tok Gajah itu ternyata memberi kelebihan buat skuad kendalian Dollah Salleh untuk mengisi slot ke pusingan seterusnya. 

Pada final piala berprestij itu musim lalu, Pahang muncul juara selepas menewaskan Selangor 2-0 hasil jaringan Nor Azam Azih dan Patrick Cruz.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 1:34pm
d