arena

Janji pengerusi baru YAKEB

Oleh Azlan Muhammad Zain

LEBIH kurang 3,000 ahli Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) akan mendapat lebih banyak peluang dari segenap aspek bagi memastikan nasib mereka terus terbela.

Itu janji Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed apabila menjelaskan beberapa perancangan sudah diatur dengan usaha tidak hanya tertumpu kepada aspek kewangan.

“Kami sudah mendapat geran RM3 juta daripada kerajaan namun misi untuk menambahnya hingga RM5 juta tetap diteruskan. Beberapa langkah akan diambil seperti menubuhkan tabung dengan kerjasama pihak swasta.

“Tabung ini bukan saja dilihat dari segi sumbangan kewangan namun aspek lain seperti modal insan, peralatan untuk perniagaan dan sebagainya. Kami mahu bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta bergerak ke peringkat negeri. Tabung ini akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Jadi kami membuka lebih banyak peluang kepada bekas atlet yang diharap mampu dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Menurut Noorul Ariffin, mereka akan berhubung dengan Koperasi Atlet Malaysia Berhad yang ditubuhkan bagi membantu YAKEB melihat bentuk kerjasama yang sesuai untuk dilaksanakan.

Terdahulu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan pelantikan beliau sebagai Pengerusi YAKEB berkuat kuasa Jumaat lalu hingga 7 Mac 2021 bagi menggantikan bekas pemain skuasy negara, Azlan Iskandar.

Bekas atlet olahraga berusia 54 tahun itu adalah ahli YAKEB sejak 2008 kemudian menjadi ahli lembaga pengarah YAKEB dari 2016 hingga kini.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 6:28pm
d