arena

Gyeongnam mahu ganyang JDT

Oleh Rizar Mohd Noor

GYEONGNAM FC yakin mampu menjinakkan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila bertembung pada aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Jurulatih Gyeongnam, Kim Jong Boo berkata, walaupun kelebihan memihak JDT yang beraksi di laman sendiri dan terpaksa bermain dalam keadaan cuaca panas namun semua itu bukan halangan kerana sudah membuat persiapan rapi.

“Ya, JDT tampil buat kali pertama dalam kancah ACL dan kami juga serupa dengan JDT dan ia pasti perlawanan menarik namun kami tidak boleh terlalu yakin sebaliknya harus berhati-hati kerana lawan kami adalah kelab terbaik di Malaysia.

“Malah kejayaan JDT hanya tewas 1-2 kepada Kashima Antlers yang juga juara bertahan agak mengejutkan. Bagaimanapun kami anggap JDT bernasib baik kerana saya lihat rakaman perlawanan itu dan kelab Jepun itu tidak menurunkan kesebelasan utama.

“Kami hadir ke Johor Bahru dengan satu misi iaitu menang dan pada aksi K-League 1 apabila tewas 1-2 kepada Incheon United, saya tidak menurunkan barisan terbaik kerana mahu memberi tumpuan kepada aksi ACL,” katanya.

Ditanya sama ada memahami corak permainan JDT, Jong Boo mengakui mendapat informasi mengenai kekuatan skuad Harimau Selatan daripada Do Dong Hyun yang pernah bersama Kelantan dan Terengganu pada musim 2017 dan 2018.

Beliau berkata, berdasarkan informasi yang diberikan Dong Hyun, JDT dibarisi pemain berkualiti dengan kebanyakan pemain berpengalaman di pentas antarabangsa mewakili skuad Harimau Malaya.

“JDT juga melakukan pelaburan besar untuk mendapat pemain import terbaik dan saya akui pasukan itu tidak boleh diperlekehkan namun kami akan tetap memberi tentangan untuk mencari kemenangan pertama.”

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 11:30pm
d