arena

PSG sedia bertindak seperti juara

Oleh Reuters

PARIS Saint-Germain mesti bertindak seperti juara selepas disingkir daripada Liga Juara-Juara minggu lalu ketika mereka bertandang ke Dijon dan perlawanan laman sendiri menentang musuh tradisi Olympique de Marseille dalam Ligue 1, kata jurulatih Thomas Tuchel, hari ini.

PSG tersingkir daripada Liga Juara-Juara menerusi peraturan gol di tempat lawan oleh Manchester United selepas kalah 1-3 di Parc des Princes sekalipun menang 2-0 di Old Trafford pada pusingan 16 terakhir.

Kejuaraan Ligue 1 secara teorinya sudah berada dalam genggaman selepas mereka mengumpul 71 mata daripada 26 perlawanan, 14 mata di depan pasukan tangga kedua Lille yang beraksi lebih dua perlawanan.

“Ia sebahagian daripada sukan untuk mampu menangani kekecewaan,” kata Tuchel pada sidang akhbar menjelang aksi menentang Dijon.

“Pasukan, staf dan saya sendiri mahu membuktikan kami boleh bertindak balas bagaikan juara.”

Pemain PSG menerima sambutan baik daripada penyokong apabila mereka menyambung latihan semalam, empat hari selepas muncul pasukan pertama dalam pertandingan utama kelab Eropah tersingkir sekalipun menang aksi pertama 2-0 di gelanggang lawan.

Mereka kehilangan khidmat pemain tengah Jerman, Julian Draxler buat beberapa minggu kerana kekejangan otot dan penyerang Edinson Cavani, yang terpaksa diketepikan daripada skuad.

PSG bertemu Dijon awal pagi Rabu ini sebelum menerima kunjungan Marseille di Parc des Princes, Ahad ini.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 11:59pm
d