arena

'Kami gopoh'

Oleh Saiful Affendy Sapran

FAKTOR tergesa-gesa mahu menamatkan perlawanan lebih awal menyebabkan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terlepas kejuaraan Seluruh England.

Perkara itu diakui sendiri Aaron selepas menyaksikan mereka tewas 21-11, 14-21, 12-21 kepada juara dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada aksi final di Arena Birmingham, kelmarin.

“Saya rasa kami terlalu terburu-buru untuk menamatkan perlawanan di set kedua dan penentuan. Ia menyebabkan lawan berasa lebih selesa beraksi berbanding dengan kami. Hendra sangat bagus bermain di jaring.

“Mereka berdua juga mempamer aksi lebih baik di set ketiga, sekali gus mendominasi perlawanan berbanding kami,” katanya.

Aaron merujuk kepada kekalahan di set kedua dan penentuan meskipun mempamer aksi meyakinkan pada awal perlawanan dengan memenangi set pertama.

Bagaimanapun, Aaron tetap gembira dengan pencapaian keseluruhannya bersama Wooi Yik di sepanjang kempen Seluruh England.

“Apa yang boleh saya katakan ialah kami sangat bersyukur dapat meraih pencapaian sehebat ini. Kami akan cuba mengekalkan momentum ini untuk kejohanan seterusnya iaitu Terbuka Malaysia,” katanya.

Kali terakhir Malaysia muncul juara acara beregu lelaki di Seluruh England adalah pada 2007 menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Dengan kegagalan itu, Aaron-Wooi Yik meneruskan pemburuan kejuaraan pertama mereka selepas tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan sejak mereka digandingkan pada November 2017.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 8:05am
d