arena

Amaran keras Sathia bakar semangat

Oleh Syazwan Msar

“SAYA berhenti atau kamu yang keluar”. Itu antara ungkapan pembakar semangat pengendali Selangor B Sathianathan kepada anak buahnya untuk melakukan ‘magis’ seterusnya bangkit mendapatkan kemenangan sulung dengan menewaskan Kuala Lumpur 3-2 di Stadium Cheras, malam kelmarin.

Malah, kebangkitan skuad Gergasi Merah itu dilakukan ketika perlawanan berbaki 30 minit apabila masing-masing berada dalam tekanan selepas pasukan tuan rumah mendahului 2-0 pada babak pertama perlawanan.

Sathia berkata, kata-kata umpama ‘ugutan’ diungkapkan kepada pemain ketika waktu rehat bagi memastikan mereka bangkit jika tidak mahu terus menjadi mangsa cemuhan peminat dan media.

“Pemain sudah hilang arah apabila Selangor dibolosi dua gol sekali gus melihat mereka tidak bersemangat dan sering melakukan kesilapan mudah.

“Pada saya mudah, saya kata pada mereka sama ada saya atau mereka yang akan keluar. Saya juga katakan tiada apa yang akan hilang jika kalah cuma saya saja akan pergi nanti,” katanya selepas perlawanan itu.

Separuh masa pertama menyaksikan tuan rumah lebih banyak mengatur serangan sebelum Muhammad Syafwan Syahlan berjaya menanduk masuk gol pertama hasil umpanan Zhafri Yahya seawal minit kelima.

Kesilapan pertahanan import Selangor Taylor Francis George yang gagal mengeluarkan bola dari kotak penalti terus dihukum apabila kapten Kuala Lumpur Indra Putra Mahayuddin mudah menendang masuk gol kedua pada minit 37. Skuad Gergasi Merah berpeluang merapatkan jurang gol pada minit terakhir separuh masa pertama namun dua sepakan percuma yang diambil Sandro Da Silva berjaya ditepis penjaga gol Kuala Lumpur Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Separuh masa kedua menyaksikan tuan rumah memperlahankan rentak perlawanan sekali gus memberi peluang kepada Selangor untuk mengatur serangan.

Percaturan Sathia yang mengeluarkan Mohd Faiz Mohd Nasir dan menggantikan Mohd Amri Yahyah ternyata memberi kesan kepada corak permainan pasukan pelawat.

Gol yang dinantikan Selangor akhirnya hadir pada minit 65 apabila Gergasi Merah dihadiahkan sepakan penalti selepas Sandro dijatuhkan di kawasan kotak penalti untuk kedudukan 2-1.

Selangor bagaikan mendapat ‘tonik’ apabila pemain tengahnya Syazwan Zainon berjaya menjaringkan gol kedua pada minit 71 selepas menggelecek dua pertahanan lawan.

Penyerang veteran Amri membuktikan dia masih lagi berbisa apabila berjaya menanduk masuk gol ketiga pada minit 77 sekali gus memastikan kemenangan sulung buat Selangor.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 8:09am
d