arena

KLFA terima lima 'resume'

Oleh Syazwan Msar

RAMAI yang menantikan kekosongan kerusi pengendali Kuala Lumpur Yusri Che Lah apabila pengurusan pasukan berkenaan setakat ini sudah menerima sekurang-kurangnya lima ‘resume’ walaupun keputusan peletakan jawatan baru diumumkan, semalam.

Malah, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa memaklumkan pihaknya menerima ‘resume’ sejak kekalahan pertama Kuala Lumpur kepada Pahang yang rata-rata menginginkan kerusi panas terbabit walaupun ketika itu mengetahui Yusri baru saja menyandang jawatan ketua jurulatih.

Nokman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan mengambil jurulatih import bagi mengisi kekosongan berkenaan yang sekarang ini disandang sementara oleh pembantu jurulatih Chong Yee Fat.

“Kemungkinan kita akan memanggil bekas jurulatih Kuala Lumpur (Fabio Maciel) sebelum ini namun semuanya perlu bergantung kepada kedudukan kewangan pasukan.

“Ada antara ‘resume’ yang diterima itu adalah membabitkan jurulatih import manakala selebihnya adalah bekas pengendali tempatan yang berminat mengisi kekosongan terbabit,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Nokman berkata, kemungkinan besar akan turut ada kemasukan pemain baharu pada jendela perpindahan nanti bagi mengisi kekosongan pemain yang ada.

“Seperti sedia maklum, kita mengalami masalah kekurangan pemain import yang boleh beraksi sekarang ini dan perkara itu harus diselesaikan bagi memastikan pasukan boleh terus bersaing,” katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 8:14am
d