arena

Jazeman dilantik Ahli Lembaga Pengarah SIC

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

PELUMBA negara, Jazeman Jaafar mencatat sejarah tersendiri dilantik Ahli Lembaga Pengarah, Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pelantikan pelumba Formula 3 negara itu membuktikan komitmen Kementerian Belia dan Sukan supaya lebih ramai generasi muda diberi peluang terbabit tadbir urus.

Katanya, pemilihan Jazeman disifatkan amat tepat memandangkan kelayakannya yang terbabit dalam industri sukan permotoran sejak berusia enam tahun lagi.

"Lebih membanggakan, beliau berjaya meraih kemenangan pertama di World Endurance Championship bersama pasukan negara tahun lalu menerusi kelas perlumbaan LMP2.

"Pengalaman dimilikinya pastinya akan dimanfaatkan bagi menghadapi cabaran tersendiri industri sukan permotoran negara.

"Saya yakin pelantikannya akan memberikan inspirasi dan ilham buat generasi muda untuk menceburi bidang ini bukan hanya kerana minat malah sebagai kerjaya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Syed Saddiq berkata, hasil perbincangannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, lebih ramai anak muda bakal dilantik dalam pengurusan sektor korporat.

"Saya berharap pelantikan ini akan memberi suntikan semangat bagi generasi muda untuk terus memberikan sumbangan kepada negara kerana mereka adalah pemimpin hari ini dan penerus legasi kepimpinan negara," katanya.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 2:19pm
d