arena

Penyokong mahu kuku Lang Merah mencakar

Oleh Izzali Ismail

“PERTAJAMKAN serangan dan konsisten mendapatkan gol!”.

Begitulah harapan Kelab Penyokong Bolasepak Kedah mahu melihat skuad Lang Merah meningkatkan keberkesanan bahagian serangan selepas dua perlawanan sebelum ini termasuk tewas 0-1 dalam aksi Liga Super kepada Pahang di Kuantan, minggu lalu.

Wakil jurucakap kelab dikenali sebagai G32, Safarizal Mohd Sobri berkata pihaknya yakin dengan perubahan dilakukan oleh Ketua Jurulatih Aidil Sharin Sahak yang mempamer peningkatan pada awal musim ini.

Namun dari aspek serangan, ia kurang konsisten berdasarkan pada dua perlawanan yang lalu.

"Perhatian perlu diberikan pada jentera serangan kerana aksi tanpa gol pada dua perlawanan bertemu PKNS (0-0) dan Pahang (0-1) merisaukan. Kami harap Kedah konsisten menghasilkan gol."

"Penyokong kempunan melihat 'bisa' yang sedia ada pada Fernando (Rodriguez), Bauman (Jonatan) dan beberapa lain pada jentera serangan dalam dua perlawanan sebelum ini.

“Kami berharap Kedah bangkit dan lebih menyengat sepertimana empat perlawanan awal."

"Kami mengharapkan skuad Lang Merah dapat meneruskan corak dan momentum terbaik ketika berdepan Petaling Jaya City FC dan FELDA United,” katanya.

Safarizal wakil kelab penyokong menerima jersi bernombor 12 sebagai simbolik digelar 'pemain ke-12' berharap Kedah sudah bersedia menanti kunjungan pendahulu liga Johor Darul Ta’zim (JDT) pada hujung bulan ini.

"Kita akan melawan pendahulu liga dan perlu memperkemaskan semua aspek.

Kedah mengumpul 11 mata, menduduki tangga ketiga di belakang JDT dan Pahang.

Lang Merah menjaringkan sembilan gol dan dua bolos selepas enam perlawanan setakat ini.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 5:13pm
d