arena

Gomez kembali ke Liga M

Oleh Syazwan Msar

KELIBAT bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez mungkin dapat dilihat semula dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) apabila beliau dikhabarkan dirisik oleh pasukan di negara ini bagi mendapatkan khidmatnya.

Gomez yang sebelum ini membimbing Persib Bandung dilaporkan dipecat Disember lalu sekali gus menyaksikan beliau dikaitkan dengan Selangor dan terbaru Kuala Lumpur.

Gomez yang membimbing skuad Harimau Selatan menjuarai Piala AFC 2015, lebih berminat mengambil pendekatan kunci mulut namun tidak menolak kemungkinan kembali membuat penampilan dalam Liga M.

“Ada wakil dari Malaysia menghubungi tapi saya tidak mahu bercerita lebih kerana perbincangan itu masih belum menemui kata putus.

“Siapa pasukan itu biarlah rahsia kerana saya menghormati semua pihak. Jika ada rezeki (membimbing pasukan Liga M), saya akan umumkan tapi buat masa ini, belum ada hitam putihdalam perjanjian,” katanya ketika dihubungi di Argentina hari ini.

Gomez berkata, beliau masih teruja dan berbesar hati diberikan peluang melatih pasukan dalam Liga Super.

“Seperti saya katakan tadi, saya tidak mahu bercakap lebih lanjut tapi jika ada tawaran, sudah pasti saya gembira untuk kembali melatih pasukan di Liga Malaysia.

“Liga M sentiasa istimewa di hati saya apatah lagi pengalaman manis bersama JDT sebelum ini. Tipulah jika saya mengatakan tidak berminat untuk melatih di Liga Malaysia.”

Disiarkan pada: March 13, 2019 @ 7:14pm
d