arena

'Messi menakjubkan'

Oleh Reuters

PENGURUS Barcelona, Ernesto Valverde dan rakan sejawatan, Bruno Genesio menghamburkan pujian buat Lionel Messi selepas bintang Argentina itu mempamerkan magis menewaskan Olympique Lyonnais 5-1 untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Lyon bagaikan tiada jawapan menyekat ketangkasan Messi apabila bintang Argentina itu menyumbat dua gol dan melakukan dua umpanan bagi membolehkan Barcelona mara ke saingan lapan terbaik.

"Kami semua bersemangat menghadapi Liga Juara-Juara, begitu juga Leo. Dia mempamerkan prestasi sangat hebat dan menakjubkan,” kata Valverde selepas tamat perlawanan di Nou Camp.

Pengurus Lyon, Genesio berkata: "Malam ini milik Messi. Dia pemain genius dan melakukan sesuatu yang orang lain sukar melakukannya. Kadangkala dia tidak boleh dikekang.”

Messi menyaksikan catatan rekod lapan hatriknya dalam saingan Liga Juara-Juara disamakan Cristiano Ronaldo ketika Juventus menewaskan Atletico Madrid 3-0, semalam.

Dia mempunyai peluang menandingi kehebatan Ronaldo tetapi sebaliknya menghantar bola kepada Gerard Pique dan Ousmane Dembele untuk gol keempat dan kelima Barca.

"Kami menguasai sejak awal perlawanan, menggerakkan bola dengan pantas untuk mengejutkan lawan. Taktik kami menjadi dan berada di kemuncak prestasi ketika ini,” kata Messi.

Pemain terbaik dunia lima kali itu gagal menjulang trofi Liga Juara-Juara sejak 2015 sementara Ronaldo memenanginya empat kali dalam lima musim bersama Real dan mampu menjuarainya bersama Juventus.

"Apa yang dilakukan Cristiano Ronaldo dan Juventus sukar dipercayai. Saya fikir Atletico cukup kuat tetapi Juve berjaya mengatasi mereka dalam semua aspek dan Cristiano mempunyai malam yang magis,” kata Messi.

"Tetapi semua pasukan yang mara adalah hebat, jadi tunggu pasukan mana yang akan kami hadapi selepas ini.”

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 10:20am
d