arena

Lewandowski kritik taktik Bayern

Oleh Agensi

ROBERT Lewandowski mengkritik taktik Bayern Munich selepas mereka tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara di tangan Liverpool awal pagi tadi.

Penyerang Poland itu menganggap pendekatan Bayern dalam perlawanan itu sangat negatif membolehkan skuad Jurgen Klopp meledak tiga jaringan di Allianz Arena.

Selepas Bayern menyamakan kedudukan pada babak pertama, mereka gagal meneruskan momentum sekali gus menyaksikan tiada wakil Jerman pada peringkat suku akhir buat kali pertama sejak 11 tahun lalu.

Juara bertahan Bundesliga itu turut bergelut memburu jaringan pada aksi pertama di Anfield dan Lewandowski menganggap pendekatan mereka dalam perlawanan itu sangat negatif.

“Sudah tentu kami tahu perlawanan ini sangat sukar tetapi dalam kedua-dua perlawanan kami terlalu bertahan. Kami tidak cuba berusaha mencipta peluang samada di Anfield mahupun hari ini.

“Kami beraksi di tempat sendiri dan sepatutnya milik kami. Itu sebabnya saya fikir Liverpool menewaskan kami. Kami bermain terlalu jauh ke dalam dan kami tidak mengambil risiko. Saya tak tahu mengapa.”

Penyerang Poland itu turut berpendapat sukar melepasi benteng Liverpool diketuai Virgil van Dijk kerana kurang mendapat sokongan daripada rakan sepasukan.

“Sangat sukar melepasi mereka kerana saya keseorangan, jadi mahu melepasi halangan dua atau tiga pertahanan yang bagus memang sukar,” katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 11:54am
d