arena

Beregu campuran, Iskandar terus mara di China

BEREGU campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mengetuai cabaran pemain Malaysia mara ke pusingan seterusnya pada Kejohanan Badminton China Masters 2019 di Hainan, hari ini.

Pasangan itu yang diletakkan selaku pilihan utama hanya mengambil masa 28 minit untuk mara ke pusingan kedua selepas menewaskan gandingan muda China, Ye Yuanpeng-Zhang Jinger; 21-11, 21-18 dalam aksi yang berlangsung di Agile Stadium of Lingshui Culture and Sports Square, menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfbadminton.com.

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dalam pada itu melangkah ke pusingan ketiga selepas menumpaskan Hsueh Hsuan Yi dari Taiwan; 21-18, 18-21, 21-7 dalam aksi pusingan kedua.

Gandingan beregu lelaki profesional Malaysia yang juga pilihan keempat, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen turut menempah slot ke pusingan kedua selepas mengatasi cabaran sengit pasangan China, Huang Di-Liang Yongwang 21-8, 19-21, 21-9.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan dan beregu wanita pada kejohanan Jelajah BWF berstatus Super 100 itu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan US$75,000 (RM306,667). - Bernama

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 12:20pm
d