arena

City simpan Silva sehingga 2025

Oleh AFP

“SUATU penghormatan untuk saya melanjutkan kontrak dengan Manchester City. Kelab ini menawarkan segalanya yang diperlukan pemain untuk memenuhi keinginan mereka dan tiada tempat lain saya mahu berada,” kata pemain tengah Manchester City, Bernardo Silva.

Prestasi cemerlang Silva musim ini menyaksikannya dianugerah kontrak baharu enam tahun sehingga 2025 di Etihad, semalam.

Perancang Portugal itu boleh dianggap sebagai pemain terbaik juara Inggeris itu musim ini selepas meledak sembilan gol dalam 40 penampilan.

“Sejurus saya mendengar City mahu saya berada di sini lebih lama, minda saya sudah membuat ketetapan. Saya menggemari kelab ini, pengurus, pemain dan juga peminat.

“Corak permainan bola sepak di sini juga turut mengujakan saya dan saya bertekad untuk memenangi lebih banyak trofi. City memberikan saya peluang terbaik untuk melakukannya.”

Silva sudah memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris dan dua kali menjulang trofi Piala Liga sejak tiba ke Etihad dari Monaco dengan nilai £43 juta (RM233.54 juta) pada 2017.

Dipercayai lebih ramai pemain akan mengikuti jejak pemain berusia 24 tahun itu yang turut meledak gol ketika membantu City membelasah Schalke 7-0 semalam dan mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

Silva pemain keempat mengikat kontrak jangka panjang bersama City selepas penyerang Raheem Sterling, pertahanan Aymeric Laporte dan pemain tengah remaja, Phil Foden.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 12:38pm
d