arena

Hamilton sedia cabar MotoGP

Oleh AFP

"SENGIT, kelajuan sangat tinggi dan tiada maaf!. Sukan ini memang fenomena. Pengalaman yang menarik. Apa kata jika kamu membenarkan saya menunggang pada masa depan?," kata pemandu Mercedes, Lewis Hamilton dalam akaun Twitter.

Hamilton berkata, dia '100 peratus' mahu menunggang motosikal MotoGP dan berharap dapat diberikan lebih masa untuk menguji jentera dua roda itu sebelum menghadapi cabaran berkenaan.

Juara dunia lima kali Formula Satu (F1) dari Britain itu secara terbuka menyatakan minatnya terhadap motosikal dan menghadiri pusingan pembuka tirai MotoGP di Qatar minggu lalu sebagai tetamu pasukan yang disokong penuh Yamaha, PETRONAS Yamaha Sepang Racing.

Kehadiran Hamilton di Qatar adalah susulan kepada percubaannya menunggang Yamaha di Kejuaraan Superbike Dunia di Jerez, Disember lalu dan dia memberitahu motogp.com dirinya mahukan sesuatu yang lebih daripada itu.

"Seratus peratus saya akan menunggang, saya bersiap sedia ke arah itu," katanya menjelang aksi pertama mempertahankan gelaran di Kejuaraan F1 di Grand Prix Melbourne, Ahad ini.

"Yang pertamanya saya memerlukan lebih masa (di atas motosikal) kerana saya hanya mempunyai lebih kurang dua hari lebih di trek tetapi jujurnya saya minat untuk mencuba jentera MotoGP. Ia satu impian.

"Saya menyaksikannya setiap minggu perlumbaan berlangsung. Biarpun saya menyertai minggu Grand Prix, saya akan cuba meluangkan masa sebelum atau selepas kelayakan bagi membolehkan saya menyaksikan aksi kelayakan (MotoGP)."

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 12:52pm
d