arena

Ryan berjiwa golf bukan muzik - Freddie

Oleh Esme Johari Wahab

“SAYA tidak paksa atau menyuruh Ryan mengikut jejak menceburi bidang hiburan. Saya berharap dia mencapai tahap tertinggi hingga peringkat profesional dalam permainan golf,” kata Datuk Freddie Fernandez.

Itulah reaksi Presiden Karyawan Malaysia yang juga usahawan muzik terkenal itu selepas melihat anak sulungnya, Ryan, 19 menduduki tempat ke-19 daripada 104 pemain golf beraksi di Kejohanan Adidas Intercollegiate di Dataw Island Club Cotton Dike, Virginia, Amerika Syarikat, kelmarin.

Ryan merakam satu di atas par 73 pada pusingan ketiga dan final sekaligus meletakkan pasukannya berada di tangga ke-13 keseluruhan dengan catatan 938.

Ryan, juara order of merit Sirkit Golf Remaja Lembah Klang 2015 melakukan 15 par dengan tiga catatan terendah untuk Jaket Kuning dengan 225 (78-74-73).

Freddie, 66, mengakui anak sulungnya daripada empat beradik yang sedang mengikuti ijazah sarjana muda Ekonomi di Kolej Randolph Macon, Ashland itu fokus memperbaiki aspek teknikal dan mentaliti diperlukan bagi meningkatkan permainannya.

Bekas pemain papan senada (keyboard) kumpulan Revolver itu berkata, hanya ada satu persamaan dirinya dengan Ryan iaitu mereka sama-sama belajar bidang Ekonomi.

“Saya menamatkan pengajian Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur dan Ryan belajar bidang sama di Virginia. Tapi muzik, hiburan bukan jiwanya, dia tidak mahu mengikut saya,” katanya kepada Arena, hari ini.

Buat masa ini, dia perlu membahagikan masa belajar selepas menyertai pertandingan dalam kejohanan tertentu di Amerika Syarikat.

“Biasanya, dia menyertai pertandingan pada Isnin dan Selasa. Jadi dia perlu mengejar semula dua hari terlepas itu,” katanya.

Freddie berkata, Ryan menghayun kayu golf sejak berumur enam tahun dan mengikutinya sehinggalah remaja.

“Golf dalam dirinya, dia menemani saya bermain golf dan apabila mencecah remaja, dia pergi sendiri ke lapangan Kelab Golf Negara Subang (KGNS).

“Biarpun belajar piano hingga gred 8, dia tidak cenderung ke arah itu. Menjadi artis tidak sama sekali walaupun boleh bermain peralatan muzik.

Ryan sebelum ini sempat bertemu idolanya, Sergio Garcia ketika pemain Sepanyol itu datang beraksi pada Kejohanan golf profesional di Malaysia.

“Sergio (Garcia) mencetus inspirasi kepadanya. Sejak itu, dia tidak menoleh ke belakang. Golf dan Ekonomi, itulah Ryan. Saya pun sudah merinduinya dan kali terakhir bertemunya pada Krismas tahun lalu,” katanya yang bertekad terus menabur bakti kepada golongan artis di Malaysia.

Kejohanan disertai Ryan di Virginia itu menyaksikan Oglethorpe menduduki tempat pertama dengan catatan 883 diikuti Hampden-Sydney (886) dan NC Wesleyan (897) di tempat kedua da ketiga.

Ryan akan kembali beraksi 23-24 Mac pada Jemputan Marlin di Beechwood Country Club, Ahoskie, Carolina Utara.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 7:31pm
d