arena

Pentas Latiff bukti hebat

Oleh Firdaus Hashim

TONGGAK pertahanan skuad Harimau Malaya, Abdul Latiff Suhaimi mahu membalas kepercayaan jurulatih Tan Cheng Hoe yang menyenaraikan namanya semula selepas kali terakhir menyertai kem negara tiga tahun lalu.

Dia yang berpindah dari Terengganu FC musim ini dilihat berada pada prestasi terbaik apabila diberi kepercayaan oleh B Sathianathan untuk mengemudi benteng pertahanan skuad Red Giants.

Jelas Latiff, dia bertekad untuk mencuri perhatian Cheng Hoe bagi membolehkannya membarisi kesebelasan utama sekali gus membina tembok besar Malaysia sepanjang saingan Piala Airmarine minggu depan.

“Saya berterima kasih kepada jurulatih skuad kebangsaan kerana memberi peluang kepada saya selepas lama tidak menyertai pasukan.

“Ia satu penghormatan kerana dapat beraksi dengan skuad kebangsaan dan pengalaman yang saya peroleh sangat bermakna.

“Saya perlu kekalkan prestasi seperti di Selangor kerana panggilan seterusnya akan mengambil kira prestasi saya bersama pasukan ini.

“Setiap sesi latihan saya perlu memberikan komitmen sepenuhnya. Saya perlu membuktikan saya berhak berada dalam pasukan ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini.

Latiff dijangka bersaing hebat dengan beberapa tonggak lain seperti Shahrul Saad, Nicolas Swirad dan Irfan Zakaria di posisi pertahanan tengah.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 9:04pm
d