arena

Tasha Mae dapat 10A

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

KUALA LUMPUR: Tangkas di gelanggang, bijak di sekolah. Itu keistimewaan atlet bola tampar wanita negara, Tasha Mae apabila memperoleh 10A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018, sekali gus muncul pelajar terbaik Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Pengetua SSBJ, Asmad Ahmad berkata, Tasha Mae sememangnya berada dalam sasaran pihak sekolah untuk mendapat keputusan cemerlang berdasarkan komitmennya membahagikan masa antara latihan dan belajar.

Katanya, kejayaan dicatatkan Tasha yang memperoleh lima A+ dan lima A- dalam mata pelajaran diambil membanggakan pihak sekolah dan guru yang bertungkus-lumus membimbing pelajar sehingga di saat akhir menjelang peperiksaan.

“Komitmen semua pelajar yang menduduki peperiksaan ini cukup baik, tambahan pula mereka jarang berada di sekolah kerana terbabit latihan dan pertandingan.

“Bagi Tasha yang juga penolong ketua pengawas sekolah, dia begitu komited terhadap sukan bola tampar dan sibuk berlatih sejak 2014 lagi, selain sangat berdisiplin untuk belajar serta bijak mengatur masa termasuk berbincang dengan guru.

“Pihak sekolah dan guru mengucapkan tahniah atas kejayaannya walaupun dia tidak dapat hadir ke sekolah untuk mengambil slip peperiksaannya kerana menghadapi kejohanan di Thailand,” katanya ditemui di SSBJ, semalam.

Tasha Mae yang juga anak jati Selangor pernah beraksi antaranya di Sukan SEA 2017 dan Kejohanan Bola Tampar Wanita Antarabangsa, Piala Lienviet Postbank di Vietnam pada 2017.

Selain Tasha Mae, turut cemerlang atlet wushu negara kelahiran Melaka, Tammy Tan Hui Ling yang mendapat 8A (3A+ 5A- 2B+), atlet renang berirama, Leong Jie Wen dengan 7A (6A 1A- 2B), atlet skuasy, Daniel Nur Haqiem Shahrul Izham, 6A (2A+ 4A 3B+ 1B) serta atlet pelapis olahraga negara acara lompat jauh wanita, Mahira Hanis Ishak yang memperoleh 5A (2A 3A- 1B 1C+ 1D).

Asmad berkata, seramai 66 pelajar SSBJ menduduki SPM pada 2018 dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 5.01, peratus kelulusan sekolah 90.91 peratus dan peratus lulus semua mata pelajaran 65.15 peratus.

“Pihak sekolah berbangga dengan pencapaian keseluruhan pelajar yang mengejar kedua-dua sekali iaitu kecemerlangan sukan dan akademik.

“Yang jelas, 2018 memang sibuk untuk pelajar dengan aktiviti sukan kebangsaan dan antarabangsa, namun mereka membahagikan masa cukup baik untuk belatih, belajar dan menghadapi peperiksaan.

“Cabaran kami adalah untuk menaikkan prestasi ini pada masa akan datang dan menghasilkan pelajar cemerlang dalam sukan dan akademi,” katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 7:00am
d