arena

Chelsea mara bergaya

Oleh AFP

OLIVIER Giroud menjaringkan hatrik untuk memastikan Chelsea mara ke peringkat suku akhir Liga Europa mengetepikan Dynamo Kiev menerusi agregat 8-0, pagi ini.

Selepas kejayaan memenangi 3-0 pada perlawanan pertama kelompok 16 terakhir di Stamford Bridge, Chelsea juara 2013 lebih bersemangat beraksi di Kiev walaupun pengurus Maurizio Sarri melakukan beberapa pertukaran untuk menewaskan wakil Ukraine itu 5-0.

Gergasi Liga Perdana Inggeris itu, dalam misi memburu trofi pertama di bawah kendalian jurulatih Itali berkenaan selepas tewas dalam perebutan final Piala Liga kepada Manchester City, selain bersaing untuk tempat beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.

“Kami bermula dengan baik. Kami mahu mulakan dengan cara sebegini,” kata Sarri kepada BT Sport. “Kami beraksi hebat dalam separuh masa pertama dan mengawal permainan di separuh masa kedua.”

Giroud, yang tidak beraksi dalam kesebelasan utama saingan liga perdana selepas Chelsea menandatangani kontrak Gonzalo Higuain, menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama, sebelum Marcos Alonso menambah jaringan ketiga sebelum waktu rehat.

Warga Perancis, Giroud melengkapkan hatrik pertama di Chelsea dengan menanduk masuk umpanan menerusi sepakan percuma Willian dalam separuh masa kedua permainan untuk melengkapkan dirinya mendahului senarai penjaring kejohanan tahun ini dengan sembilan gol.

Pemain muda yang beraksi di bahagian sayap, Callum Hudson-Odoi meneruskan aksi cemerlang di peringkat Liga Europa dengan jaringan ke empat kejohanan itu ketika baki 12 minit sebelum tamat permainan.

Namun Sarri lebih terdorong untuk memuji aksi ‘luar biasa’ pemain tengah England, Ruben Loftus-Cheek selepas diberi peluang beraksi beberapa kali dalam kesebelasan utama.

“Dia mempunyai potensi besar,” katanya.

“Fizikal, teknikal dan taktikal permainannya semakin meningkat. Dia berpotensi sebagai salah seorang pemain tengah terbaik tidak hanya di England malah di Eropah.”

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 8:27am
d