arena

Zaiton sahkan AAM dibatal

Oleh Saiful Affendy Sapran

PEJABAT Pesuruhjaya Sukan (PJS) mengesahkan Persatuan Automobil Malaysia (AAM) sudah dibatalkan status sebagai badan sukan.

Ia bermakna, AAM tidak lagi mempunyai kuasa untuk mengiktiraf, menganjur atau terbabit dengan apa saja aktiviti sukan permotoran dalam mahupun di luar negara.

Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman yang mengesahkan perkara itu berkata, mereka mengambil tindakan membatalkan status AAM sejak akhir tahun lalu.

“Sebab utama kami membatalkan status AAM adalah kerana mereka tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Contohnya mereka tidak menghantar laporan tahunan serta tidak meminda perlembagaan.

“Bukan AAM saja tapi semua persatuan sukan yang dibatalkan kebanyakannya kerana tidak mengikut peraturan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zaiton masih menggalas tugas selaku Pesuruhjaya Sukan hingga 2 Mei depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali menerusi laporan Arena Metro semalam ingin tahu apakah status sebenar AAM yang dikatakan sudah dilucutkan status sebagai badan sukan.

Jelas Razlan, perkara paling membimbangkan SIC situasi itu boleh memberi impak besar kepada pelumba dan pemandu yang mengambil bahagian dalam satu-satu kejohanan termasuk soal proses insurans.

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 6:00pm
d