arena

JDT tangga ke-28 kelab Asia

Oleh Syazwan Msar

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berada di kelas tersendiri apabila tersenarai di kedudukan ke-28 daripada 162 kelab terbaik seluruh Asia menerusi ranking kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Walaupun kedudukan itu menurun lima anak tangga berbanding tahun lalu namun pasukan itu tetap berbangga apabila berjaya mengatasi kelab ternama dari Asia termasuk Jeju United (29) dan Gamba Osaka (45).

Malah JDT juga berjaya membuktikan pasukan itu berada di kedudukan terbaik dalam kalangan kelab Asia Tenggara mengatasi dua kelab Thailand, Buriram United (31) dan Muangthong United (40).

Menerusi laman sesawang www.footyrankings.com, JDT konsisten mengutip mata selepas terbabit dalam saingan Piala AFC dan kelayakan Liga Juara-Juara Asia, sekali gus menghimpun 35.71 mata.

Pengiraan ranking itu berdasarkan jumlah mata yang terkumpul oleh kelab dalam semua pertandingan AFC sejak 2015 dan peratusan mata Persatuan Bolasepak Malaysia.

Selasa lalu, JDT seri 1-1 dengan kelab Korea Selatan, Gyeongnam FC pada aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. Mereka kalah aksi pertama 1-2 di tangan juara bertahan Kashima Antlers di Jepun.

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 6:17pm
d