arena

Guardiola sukar ramal City-Spurs

Oleh AFP

PEP Guardiola percaya sukar untuk meramalkan siapa akan menang pertembungan suku akhir Liga Juara-Juara antara dua pasukan Inggeris, Manchester City dan Tottenham.

Pasukan Guardiola, yang layak ke suku akhir susulan kemenangan agregat 10-2 ke atas Schalke 04, akan berdepan Spurs di gelanggang lawan pada 9 April depan sebelum menjadi hos aksi kedua pada 17 April.

City menang tiga pertembungan terakhir dengan Tottenham dan pengarah bola sepak kelab itu Txiki Begiristain mendakwa pendahulu Liga Perdana itu “yakin” mereka boleh mara ke separuh akhir.

Namun Guardiola lebih berhati-hati apabila ditanya mengenai pendapatnya terhadap pertembungan dengan pasukan Mauricio Pochettino, yang mengalahkan City hanya sekali sejak bekas bos Barcelona itu mengambil alih di Stadium Etihad pada 2016.

“Mereka pasukan ternama, jadi ia 50-50. Tottenham, satu penghormatan besar kerana saya tahu mereka dengan agak baik,” kata Guardiola.

“Ia pasukan yang sukar tapi mana-mana pasukan dalam Liga Juara-Juara sama saja.

“Setiap pasukan ada kekuatan dan kelemahan, sama sepeti kami. Kami perlu cuba untuk menanganinya.”

Guardiola percaya satu daripada kunci buat City untuk layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali kedua adalah memastikan pemain bintang mereka cergas sepanjang April yang padat ketika mereka memburu empat kejuaraan.

Disiarkan pada: March 16, 2019 @ 12:21am
d