arena

Tiada jalan pintas

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA LUMPUR:Tiada jalan mudah untuk Malaysia kembali menjadi kuasa badminton dunia kecuali dengan usaha serta aksi konsisten barisan pemain negara dalam kejohanan yang disertai.

Itu pandangan bekas pemain serta Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj.

Jelas Selvaraj, masalah utama rata-rata barisan pemain negara ketika ini ialah tidak mempunyai prestasi konsisten serta tidak mengambil inisiatif untuk menjalani latihan lebih daripada sepatutnya.

“Mereka sebenarnya tidak boleh beri alasan sebaliknya perlu terus konsisten. Bagi saya untuk mengekalkan prestasi itulah yang menjadi masalah utama kepada barisan pemain negara.

“Anda perlu terus bekerja keras, berlatih sekuat mungkin dan kemudian meneruskan momentum itu di kejohanan yang disertai.

“Jika prestasi jatuh sedikit dan kemudian tiada inisiatif untuk mengekalkan tahap kecergasan, saya yakin prestasi pemain itu pasti akan terus merundum,” katanya.

Selvaraj tidak mahu barisan pemain muda seperti naib juara Seluruh England, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mudah untuk berasa cepat berpuas hati.

“Mereka ini masih muda dan jangan hanya selepas mara ke final Seluruh England, mereka sudah berasa berpuas hati. Sebagai pemain anda perlu memunyai mentaliti mahu menang di setiap kejohanan yang disertai,” katanya.

Jelas Selvaraj, ketika eranya sehingga lewat era 1990-an, kunci utama kepada kecemerlangan barisan pemain negara ialah mereka sentiasa mempamerkan aksi konsisten dalam setiap kejohanan sertai.

“Saya rasa tiada apa lagi diperlukan alet sekarang sebab segala-galanya sudah tersedia untuk mereka termasuklah Akademi Badminton Negara (ABM).

“Mereka juga diberikan elaun tinggi, bukan seperti zaman saya sebagai pemain yang hanya mendapat RM3 sehari,” katanya.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria pada sesi ‘Townhall Badminton 2019’ bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kelmarin mengakui Malaysia bukan lagi kuasa dunia.

Disiarkan pada: March 16, 2019 @ 6:00am
d