arena

Jupha kerah kudrat

Oleh Azlan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR: Atlet berbasikal negara, Jupha Somnet sedia untuk mengharungi jadual padat sepanjang tahun ini.

Kudrat pelumba kelahiran Perlis berkenaan ditagih negara untuk beraksi dalam acara lebuh raya di Sukan SEA Filipina (Disember) dan Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) di Korea Selatan pada Oktober.

“Memang satu tugas berat kerana ia disiplin berbeza namun sebagai atlet, saya sedia menyahut cabaran. Paling utama saya mampu membawa kejayaan untuk negara,” katanya.

Jelasnya pada peringkat awal tahun ini, dia akan memberikan tumpuan kepada acara lebuh raya dengan harapan mampu menghasilkan emas untuk negara dalam acara lepas beramai-ramai di Filipina nanti.

“Ia sukar kerana cabaran semakin tinggi terutama dengan kehadiran pelumba Vietnam dan Thailand. Namun bukan mustahil untuk dicapai dengan perancangan dan pendedahan mencukupi akan menghasilkan sesuatu yang bagus,” katanya.

Menurut Jupha, dia akan menyertai beberapa perlumbaan jelajah sebelum kembali memberi fokus kepada trek pada Jun atau Julai.

“Saya turut tersenarai untuk ke ACC Korea Selatan. Jadi saya turut perlu bersedia untuk kembali menggegar di trek. Perancangan sudah diatur dengan menyertai beberapa perlumbaan Piala Trek Asia sebagai persediaan,” katanya yang meraih emas perlumbaan mata di ACC 2017.

Disiarkan pada: March 16, 2019 @ 6:30am
d