arena

Tak sangka petak pertama lagi: Hamilton

Oleh Reuters

LEWIS Hamilton ‘terkejut’ dengan kepantasan Mercedes selepas mencatat petak pertama buat kali kelapan di Grand Prix Australia, di depan rakan sepasukan Valtteri Bottas ketika mereka mengetepikan saingan pencabar Formula Satu pada sesi kelayakan hari ini.

Juara F1 itu mencatat rekod satu minit 20.486 saat selepas satu pusingan di Albert Park untuk mendahului rakan sepasukan dari Finland dengan 0.112 saat, jauh meninggalkan Ferrari dan pencabar lain.

Catatan sepusingan Hamilton lebih 0.7 saat lebih pantas berbanding pencabar utama Sebastian Vettel, setahun selepas pelumba Britain itu meninggalkan Ferrari dengan jurang yang sama ketika menduduki petak pertama.

Tumpuan sebelum ini terarah kepada kepantasan Ferrari pada sesi ujian musim sejuk dan Hamilton sendiri berpendapat pasukannya agak ketinggalan sebelum ke Melbourne.

Namun pelumba berusia 34 tahun dan rakan sepasukannya Bottas seakan mahu menyedarkan pasukan Scuderia.

“Saya tidak jangka berlaku perbezaan dalam prestasi,” kata Hamilton.

“Ia benar-benar mengejutkan.

“Secara jujurnya kami ketinggalan. Namun sejak itu hingga ke hari ini kami lebih memahami kenderaan. Kami mencatat langkah yang besar dalam pelarasan kenderaan.”

Hamilton mengadu mengenai masalah brek hadapan pada sesi akhir kelayakan dan tergelincir sebelum catatannya dipintas Bottas pada pusingan pertama.

Namun dia segera bangkit untuk menafikan petak pertama sulung buat Bottas.

“Seperti juga Lewis, saya begitu teruja dengan prestasi kami hari ini. Saya tidak fikir sesiapa akan membayangkan kami berada di kedudukan ini selepas sesi ujian tetapi semua orang nampaknya bekerja keras,” kata Bottas yang bergelut tanpa sebarang kemenangan tahun lalu ketika Hamilton menjulang kejuaraan kelimanya.

Disiarkan pada: March 16, 2019 @ 7:02pm
d