arena

Habibi, Kiki kesayangan Farkhan [METROTV]

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

Tangkas dan lasak di gelanggang namun siapa sangka peninju profesional negara, Muhamad Farkhan Mohd Haron, 31, memiliki sikap penyayang kepada binatang.

Haiwan peliharaannya dua ekor kucing Bengal sering menjadi teman sebagai penghibur keluarganya.

“Saya mempunyai dua ekor kucing, yang jantan namanya Habibi berusia satu tahun lapan bulan, pasangannya yang betina nama Kiki berusia satu tahun empat bulan.

“Disebabkan kucing ini mempunyai sijil lahir harganya mahal. Kedua-duanya saya beli di Pontian, Johor hampir RM5,000.

“Saya pilih kucing ini kerana membela kucing tidak sukar. Ia juga sebahagian daripada sunah Nabi. Saya juga meminati kucing ini kerana warna dan corak badannya seperti harimau,” katanya.

Farkhan yang dikenali dengan jolokan ‘Rocky Malaysia’ berkata, kucing peliharaannya itu menunjukkan sikap penyayang kepada tuannya.

“Habibi seekor kucing yang jinak, suka dibelai dan suka bermain. Manakala Kiki takut dan sukar didekati namun dia kenal tuannya.

“Uniknya kucing ini dilahirkan pada tarikh sama dengan tarikh lahir anak saya iaitu 26 Oktober,” kata Farkhan yang mencatat sejarah pemegang rekod peninju termuda negara memenangi pingat emas pada Sukan SEA ke-25.

Menurutnya, kehadiran haiwan itu bukan hanya sebagai penghibur malah sebagai teman isterinya, Siti Syafiqah Haris, 29, dan dua anak perempuan, Zaheera Khan, lima bulan serta Maheera Khan, 3 tahun ketika dia sibuk bekerja atau menyertai kejohanan.

“Keluarga saya termasuk ibu (Zaharah Abdul Razak) adalah tulang belakang saya dalam kehidupan dan sukan.

“Sekurang-kurangnya kehadiran haiwan ini dapat berkongsi kasih sayang. Selain teman penghibur di waktu saya tiada di rumah. Keluarga saya sangat sayangkan kucing ini. Walaupun liar dan lincah tapi gelagat mereka menghiburkan,” katanya.

Menurut Farkhan, sikap kedua-dua kucing itu yang manja kepada keluarga membuatkan mereka sangat menyayanginya.

“Memang saya sediakan sangkar untuk dua kucing ini dan dalam perancangan untuk membesarkan sangkar mereka.

“Sekurang-kurangnya sebulan sekali saya akan bawa kucing ke klinik dan kedai haiwan untuk memeriksa kesihatan dan membersihkan haiwan itu. Untuk makanannya pula saya beri makanan khas untuk kucing spesies ini dengan peruntukan sebanyak RM300 dalam tempoh dua bulan.

“Saya sering meletakkan kucing ini dalam sangkarnya cuma pada siang hari saya dan anak akan bermain dengannya.

“Sebelum ini saya pernah bela kucing hutan tapi rumit kerana kucing itu makan ayam mentah dan lama kelamaan ia mati. Jadi saya pilih untuk beli kucing Bengal,” katanya yang meletakkan sasaran untuk menjadi juara dunia dalam sukan tinju.

Selain kucing, Farkhan turut memelihara beberapa ekor ikan hiasan dalam rumahnya.

Mengulas mengenai pembabitan dalam tinju Farkhan berkata, arwah bapa Mohd Haron Ismail Khan yang meninggal dunia kerana serangan jantung pada 2012 adalah individu yang bertanggungjawab memperkenalkan dirinya dalam sukan mempertahankan diri itu.

“Bapa juga peninju dan jurulatih tinju Johor, saya diperkenalkan oleh bapa dengan sukan tinju sejak berusia 5 tahun.

“Saya mula menyertai kejohanan tinju pada usia 13 tahun hingga berjaya mewakili Johor pada Sukan Malaysia (SUKMA) yang mana saya memenangi pingat emas SUKMA selama empat edisi berturut-turut dari 2004 hingga 2010.

“Kini saya bertindak sebagai peninju profesional dan berazam untuk muncul juara dunia,” katanya.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 8:04am
d