arena

City mara ke separuh akhir Piala FA

Oleh Reuters

PENDAHULU Liga Perdana Inggeris, Manchester City bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan pasukan liga kejuaraan Swansea City 3-2 di Stadium Liberty awal pagi ini untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala FA.

City yang sudah mengesahkan tempat dalam lapan pasukan terakhir Liga Juara-Juara selain kejayaan muncul juara Piala Liga, memulakan permainan dengan baik dalam misi menjadi pasukan pertama memenangi empat kejuaraan trofi Inggeris musim ini.

Bagaimanapun, City dikejutkan dengan gol pembukaan lawan menerusi sepakan penalti selepas 20 minit permainan berlangsung apabila Fabian Delph melakukan kekasaran ke atas Connor Roberts dan Matt Grimes tidak berdepan masalah menyempurnakan penalti berkenaan untuk Swansea mendahului.

Sembilan minit kemudian bekas pemain skuad remaja Manchester City, Bersant Celina menjaringkan gol buat Swansea untuk mendahului selesa.

City sukar memecah kebuntuan jaringan sebelum waktu rehat, namun jaringan Bernardo Silva pada minit ke-68 mengembalikan semula rentak pasukan.

Sebelum pelawat meningkatkan tekanan menerusi penalti yang disempurnakan oleh pemain gantian Sergio Aguero. Sepakan berkenaan bagaimanapun menggegar palang kemudian melantun dan terkena penjaga gol Swansea, Kristoffer Nordfeldt.

Aguero terlepas peluang terbaik untuk menjaringkan gol ketika tujuh minit kemudian, namun penyerang Argentina itu memastikan kemenangan pasukannya menerusi tandukan dua minit sebelum tamat permainan.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 8:14am
d