arena

Risik dahulu Chukwubunna

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu merisik terlebih dahulu persembahan penyerang UKM FC, Michael Chukwubunna sebelum mengambilnya sebagai aset baharu pasukan negara.

Cheng Hoe berkata, beliau mengetahui ramai pemain import yang boleh diserapkan dalam skuad kebangsaan namun mahu pemilihan mereka berbaloi.

Beliau menyatakan sedia maklum keinginan pemain kelahiran Nigeria itu dan akan menghantar pasukan peninjau bagi melihat kebolehannya sebelum dipanggil menjalani sesi latihan bersama skuad kebangsaan.

“Kami mahu melihat setiap kebolehan dan skil yang dimiliki pemain berkenaan sebelum diserap dalam skuad kebangsaan selain yang paling penting memiliki pasport.

“Walaupun dia dikhabarkan boleh menyelesaikan masalah bahagian serangan skuad negara namun pemilihannya itu perlulah berbaloi atau mempunyai ciri ditetapkan,” katanya.

Menerusi laporan eksklusif Arena Metro semalam, ayam tambatan import UKM FC, Chukwubunna menyatakan hasrat menyertai skuad kendalian Cheng Hoe.

Michael, 30, yang sudah beraksi di liga tempatan selama enam musim adalah penjaring terbanyak dalam saingan Piala Cabaran musim lalu dengan 13 gol selain lima gol dalam Liga Perdana.

Selain itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi menjelaskan pihaknya sentiasa membuka pintu buat mana-mana pemain import berhasrat mengikut jejak Mohamadou Sumareh sebagai tonggak naturalisasi termasuk penyerang UKM FC itu.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM tetap mengingatkan bahawa badan induk itu masih meletakkan syarat dan kriteria tertentu yang perlu dilepasi seseorang pemain.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 9:01am
d