arena

Mana VAR : Guardiola

Oleh Reuters

PENGURUS Manchester City Pep Guardiola berkata dia tidak faham mengapa teknologi penolong pengadil video (VAR) tidak digunakan di Swansea City selepas keputusan kontroversi menyaksikan pasukannya menang 3-2 dalam saingan suku akhir Piala FA.

City bangkit daripada ketinggalan dua gol di Liberty Stadium untuk menempah tempat ke separuh akhir buat kali kedua dalam tiga tahun dan memberi harapan untuk memenangi empat kejuaraan dalam bola sepak Inggeris.

Wakil dari Liga Kejuaraan, Swansea meninggalkan gelanggang dalam keadaan kecewa dan tidak bersetuju dengan dua gol lewat City yang mungkin tidak dibenarkan jika teknologi VAR digunakan.

Pertama, dengan baki 12 minit permainan, City diberikan sepakan penalti selepas pemain Swansea Carter-Vickers merebut bola daripada Raheem Sterling di kawasan kotak itu.

Sepakan yang disempurnakan Aguero menggegar palang gol sebelum terkena kaki penjaga gol lawan Kristoffer Nordfeldt.

Pada minit ke-88, perlawanan bertambah kontroversi apabila Aguero dikatakan berada pada kedudukan ofsaid ketika menanduk masuk gol kemenangan.

Namun masih tiada VAR untuk dilihat tayangannya semula, dengan persatuan bola sepak Inggeris menetapkan hanya beberapa perlawanan penting membabitkan pemburuan piala di Liga Perdana mempunyai teknologi berkenaan.

Guardiola, yang menyokong penuh penggunaan VAR, tidak begitu bersetuju dengan polisi berkenaan.

“Saya minta maaf ia memang ofsaid,” kata Guardiola.

"Saya tidak faham kenapa VAR tidak digunakan dalam kejohanan ini dan di peringkat seperti ini. Saya berharap ia akan dilaksanakan musim depan.”

“Penalti itu adalah tuah tetapi kamu memerlukannya, terutama ketika kami dalam empat pertandingan.”

Guardiola, memuji aksi pemainnya yang mempamerkan karakter tersendiri apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menang buat pertama kali dalam semua kejohanan sejak dia mengambil alih kelab berkenaan.

“Kami berbincang pada waktu rehat apabila kami perlu satu gol dan selepas menjaringkan satu gol, semuanya kemudian bertambah mudah.” tambah Guardiola.

“Selepas kami menjaringkan gol itu kami mencipta banyak gerakan, mempunyai banyak peluang, tetapi semangat dan kegigihan membantu kami menang perlawanan itu.”

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 1:04pm
d