arena

Hamidin kini Naib Presiden AFF

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin secara rasmi dipilih menjadi Naib Presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF), hari ini.

Berdasarkan kenyataan media FAM, pemilihan adalah bagi penggal 2019-2023 dan disahkan dalam kongres AFF di Siem Reap, Kemboja hari ini.

Turut terpilih menjadi Naib Presiden AFF, Datuk Sri Zaw Zaw dari Myanmar yang mempertahankan jawatannya dan Datuk Seri Francisco Kalbuadi Lay dari Timor Leste.

Mengulas pelantikan Hamidin, Setiausaha Agong FAM, Stuart Ramalingam menganggap ia penghormatan buat FAM khasnya dan negara umumnya.

"Sebagai antara pengasas AFF, FAM harus ada suara dalam kalangan negara anggota AFF di bawah kepimpinan Sameth (Mejar Jeneral Khiev Sameth) supaya ia terus dapat membantu ahli gabungannya menaikkan standard bola sepak Asia Tenggara," katanya.

Dalam Kongres AFF yang disusuli mesyuarat badan itu, perwakilan FAM turut dianggotai Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Mohd Kamal dan Stuart.

AFF kini diterajui Sameth dari Kemboja menggantikan Sultan Ahmad Shah yang menolak pencalonan baginda atas sebab kesihatan.

Sameth yang juga naib Presiden Persekutuan Bolasepak Kemboja (FFC) sebelum ini memegang jawatan timbalan presiden AFF dan menang tanpa bertanding berikutan penarikan diri Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Untuk rekod, Hamidin pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dari 2010 hingga 2014 sebelum dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pembangunan AFC dari 2015 hingga 2018 selain Ahli Majlis AFF dan berada dalam Ahli Jawatankuasa Pertandingan AFF dari 2013 hingga 2018.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 6:36pm
d