arena

Tewas sejak selekoh pertama: Hamilton

Oleh AFP

LEWIS Hamilton yang kecewa memberitahu perjuangannya di Grand Prix Australia ‘musnah’ seawal selekoh pertama ketika dia terus mencari jawapan atas kegagalan mengatasi kepantasan rakan sepasukannya di Mercedes Valtteri Bottas.

Juara dunia lima kali itu bermula dari petak pertama pada perlumbaan pembuka tirai tetapi dipintas seawal selekoh pertama oleh pelumba Finland itu dan pelumba Britain itu gagal menyainginya apabila ketinggalan hampir 21 saat.

Menambah luka Hamilton, Bottas turut merebut mata tambahan selepas melakukan catatan sepusingan terpantas.

Hamilton yang terpantas dalam ketiga-tiga sesi latihan dan kelayakan, menerima kekalahan itu tetapi tertanya-tanya di mana silapnya.

“Perlumbaan saya mudah saja hari ini; saya hilang kedudukan pada awal perlumbaan dan harapan saya musnah selepas selekoh pertama,” katanya.

“Aksi selepas itu hanyalah untuk menamatkan perlumbaan dan mengumpul mata.

“Saya perlu memasuki hentian pit awal untuk mengatasi Ferrari namun perlumbaan selepas itu lebih panjang dan saya perlu memandu berhati-hati supaya tayar masih boleh digunakan sehingga akhir perlumbaan.”

Autosport.com berkata Mercedes menemui kerosakan pada lantai kereta Hamilton menerusi pemeriksaan selepas perlumbaan, mungkin kerana terlanggar serpihan atau terlanggar tebing jalan.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 7:35pm
d